It's The Climb

By: Anwar Mc Noo

                   In The Name Of Allah The Most Gracious,  The Most Merciful

"Climb the mountains not so the world can see you, but so you can see the world"

  Dalam menempuh hidup yang penuh dengan cabaran ini, setiap daripada kita mempunyai impian sendiri, atau  lebih tepat lagi ialah, kemuncak Gunung Impian kita yang kita ingin kuasai puncaknya! Biasanya, itu kemuncak kejayaan yang ingin kita cipta atau matlamat akhir perjalanan hidup kita. Persoalannya, adakah usaha kita menepati pendakian kita yang selalu penuh dengan cabaran dan halangan itu?

Terdapat pelbagai gunung impian yang boleh kita mimpikan, mungkin ianya Gunung Ledang, Gunung Tahan, Gunung Everest, atau mungkin Gunung Alps. Hakikatnya, adakah kita mulakan pendakian itu atau masih termenung melihat ke puncaknya memikirkan “adakah aku mampu melakukan pendakian ini?”, sedangkan hakikatnya kita adalah ciptaan yang diciptakan Allah sebagai makhluk yang terbaik!

Melalui lembaran sejarah, kita boleh dapat lihat betapa mereka yang berjaya sudah mencapai puncak gunung impian masing-masing. Namun, pendakian mereka semestinya bukan mudah, bermotivasikan ilmu dan semangat pada setiap usaha yang membawa kepada kejayaan, mereka tidak pilih untuk mengangkat balik ‘raven axe’ mereka dan berlalu daripada gunung impian mereka, malah mereka memilih untuk terus mendaki dan menikmati permandangan kejayaan di puncak!

Apabila Thomas Edison, pencipta mentol dunia yang pertama ditanya adakah beliau pernah mengahadapi kegagalan, beliau menjawab, semestinya saya tidak pernah menghadapi sebarang kegagalan, cuma saya sudah berjaya jumpa 10,000 cara yang tidak akan berhasil.

Kata pujangga, “penghalang manusia mencapai kejayaan mereka selalunya berpunca daripada pemikiran mereka sendiri”. Biasanya, ramai di kalangan kita suka menyalahkan orang lain yang menyebabkan kegagalan mereka. Kita terlupa sebenarnya, suka menyalahkan orang lain itu juga adalah satu kesalahan, mengikis masa untuk kita berusaha dan akhirnya itulah punca yang menjurus kita jadi orang gagal.

Seperti dalam hidup, pendakian juga ada naik turun, namun, kadang-kadang, itulah merupakan sebahagian daripada perjalanan yang harus kita tempuhi untuk capai ke puncak teratas! Tanpa menoleh ke belakang, langkah ke hadapan harus berterusan! Seperti lirik lagu The Climb oleh Miley Cyrus, ianya bukan mengenai betapa lajunya kita dalam pendakian itu, ataupun apa yang menanti kita di atas puncak itu, tetapi ianya adalah mengenai pendakian kita sendiri!

Tekadkan matlamat kemuncak gunung impian kita, rancang pendakian, awas dengan lembah dan lurah, bersedia untuk terjatuh dan bijak bangun semula, hayati keindahan pencapaian kita apabila tiba di puncak. Pujangga Jepun berkata “jatuh tujuh kali, bangun lapan kali”.

Ya, kadang-kadang kita merasakan  bahawa pendakian ini satu perkara yang meletihkan dan memenatkan, tetapi apabila kita sampai ke puncak, kita akan dihadiahkan dengan satu permandangan yang indah, yang mana hanya pendaki yang berjaya sahaja mampu mengecapinya!
Dan melalui pemandangan itu, kita juga dapat lihat di bawah bahawa pendaki-pendaki  yang berada di atas turut mempunyai cabaran yang sama dengan pendaki-pendaki lain yang berada di bawah, Cuma mereka merasakan bahawa, pengalaman itulah yang mematangkan mereka dan untuk mengaku kalah semestinya bukan pilihan yang mereka ada!
Kita juga boleh lihat bahawa ada beberapa pendaki yang memilih untuk berhenti mendaki di base camp, advanced base camp, ataupun camp 1 sahaja, dan ada beberapa pendaki yang terus mendaki sehingga ke puncak. Apabila ditanya, kepada mereka, semestinya motivasi diri dan usaha mereka berbeza!

Malah, apabila kita sudah mencapai puncak, tanpa kita sedari, ada beberapa pendaki yang lain yang menjadikan pendakian kita sebagai suatu rujukan ataupun motivasi kepada diri mereka. Sedar atau tidak, menjadi motivasi kepada orang lain untuk turut bermotivasi dan berubah, itu adalah dakwah...efektif. Kata pujangga Inggeris “actions speak louder than words!”

Kaedah dakwah yang paling banyak direalisasikan oleh Rasulullah SAW adalah dakwah menerusi tindakan, teladan dan model. Pada masa sama, kita melaksanakan apa yang kita cakap itu menepati apa yang Allah suka. Dalam surah As Saf, Allah menyatakan kebencianNya yang sangat besar terhadap manusia yang bercakap tetapi tidak melakukannya, ataupun ‘cakap tak serupa bikin’.

Tidak salah untuk kita mempunyai beberapa gunung impian, tetapi pastikan setiap pendakian itu berbaloi untuk kita mencapai puncak dan menikmati pemandangan kejayaan! Tanpa sedar, kadang-kadang Allah takdirkan kita jatuh atau tergelincir dalam pendakian, tetapi melalui itulah juga Allah hadiahkan kita erti bangkit daripada kegagalan dan erti tidak kenal putus asa! Itulah kejayaan hakiki.


Popular Posts