Travelog #2: The Ticking Reminder


Authored by: Zaharah Uzir
Edited by: Anwar Mc Noo



IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL

Setiap pemergian itu mengajar kita bahawa yang kekal itu hanya Dia, pemilik kita.

16 Ramadhan 2007 Masihi
Jam menunjukkan pukul 3 petang dan rutin harian Ibu dan Papa adalah bantu kakak dan suaminya untuk bersiap ke bazar Ramadhan memandangkan mereka berdua salah seorang pemilik tapak bazar di Wakaf Bharu.
“Ring!Ring!Ring!
Telefon ibu menerima panggilan dari Hospital Kuala Lumpur dengan satu perkhabaran yang anak ketiga ibu kemalangan. Satu berita yang sangat asing bagi aku memandangkan umurku membataskanku untuk berfikiran lebih matang apatah lagi adikku yang masih mentah untuk faham erti setiap titisan airmata yang dialirkan ibuku.
Pada sisi yang berbeza, anak sulung ibu dan isterinya mengambil keputusan untuk berpindah dan menetap di rumah ibu pada hari yang sama. Ternyata, mereka lebih memahami situasi ini. Allahu Rabbi hebat sungguh perancangan Allah.
Allah berfirman dalam surah ali Imran: 54
“Dan Mereka Merancang, Allah juga merancang ,Dan ALLAH sebaik-baik Perancang”
Tepat azan Asar berkumandang, sekali lagi telefon ibu berdering dengan ringtone yang sama. Kami siap untuk menerima sebarang berita dari hospital.
“ Mohd Sukrie Bin Daruis@Uzir disahkan meninggal dunia” kedengaran suara  melalui telefon ibu.
Terkulai menyembah bumi sekujur jasad yang ku gelar ibu setelah anak kesayangannya dipanggil Ilahi. Menangis seorang ibu bila dia sedar anaknya sekarang bukan lagi 7 tapi 6, longlai seorang isteri yang penguat buat suaminya selama ini bila dia sedar selepas ini sudah tidak ada lagi gelak ketawa yang bakal menceriakan di setiap ruang rumah kami.
Sebelum abang kembali ke UKM Bangi, kami adik beradik dah nampak perubahan yang agak ketara bila dia banyak beralah dengan adik-adik, nasihatkan aku supaya belajar rajin-rajin, tapi kami tidak jangkakan puasa 9 tahun lepas adalah puasa last kami sekeluarga 7 beradik. Masih aku ingat soalan yang ditanya abang kepada papa.
“Pa, kenapa yie rasa x sedap hati?” aju abang pada papa sebelum abang menaiki bas untuk kembali ke Kuala Lumpur.
Rupanya malam itu lah malam last aku tatap dan aku cium tangan abang, lepas ni aku dah tak berpeluang untuk bergaduh, untuk marah dia. Sudah tiada dah, kerana malam tu merupakan malam terakhir sebelum kejadian meragut nyawa abang.

17 Ramadhan 2007 Masihi
Alhamdulillah selamat sampai satu jasad yang sudah pun tidak bernyawa, yang hanya menunggu untuk ke tempat kekalnya, yang menunggu untuk ditatap buat kali terakhir oleh keluarganya. Sebuah bas dari UKM yang terdiri dari sahabat handai abang turut mengiringi jenazah abang sampai ke rumah dan waktu tu rumahku umpama dilimpahi lautan manusia dari pelbagai bangsa dan agama serta sanak saudara dan jiran tetangga.
Nenek aku merupakan insan pertama yang membuka kain kapan yang menampakkan muka abang dan satu perkataan sahaja yang terkeluar dari mulut nenek.
“Allahu akbar!” cucu kesayangannya dikucup dengan penuh kasih sayang diikuti ibu, papa dan adik beradik yang lain. Rupanya jiwa kecilku turut merasai satu kehilangan besar apabila aku hanya mampu tatap dari jauh wajah kesayangan dek lautan airmata tak mahu berhenti dari jatuh membasahi pipi. Sungguh aku sedang melihat jasad abangku yang masih tersenyum umpama sedang lena dibuai mimpi indah. Allahu akbar. Sungguh tenang. Juga menenangkan.
Selesai proses pengembumian pada hari seluruh umat menyambut Nuzul Quran, sahabat-sahabat abang datang berjumpa dengan keluarga aku sebelum mereka berangkat pulang ke UKM. Diserahkan bersama barang-barang abang pada kami sekeluarga dan dimaklumkan daripada sahabat-sahabat abang, abang ada mengagihkan barang miliknya kepada sebilangan kecil sahabat-sahabatnya termasuklah cincin milik abang sendiri.
16 Ramadhan 2016 Masihi genaplah 9 tahun abang atau dikenali sebagai ayoh cik oleh anak-anak buah meninggalkan kami sekeluarga. 9 tahun adalah satu proses yang lama tapi bukan menjadi asbab untuk abang luput di hati kami sekeluarga kerana sesungguhnya abang kesayangan kami.
Dan juga kerana kematian bukanlah satu kehilangan, tapi ianya tanda kasih sayang dan satu aturan yang berhikmah dari Tuhan. Terpulang kepada kita sejauh mana ia berkesan dan sebanyak mana persediaan yang sempat dilakukan.

"Death is not the greatest loss in life. The greatest loss is what dies inside us while we live."
-Norman Cousins-

Firman Allah dalam surah Al Ankabut : 57
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan”

Wahai jiwa cukuplah merasa diri kamu hebat umpama kamu pemilik ilmu
Wahai jiwa cukuplah angkuh dengan tanah umpama kamu berasal dari mutiara yang mahal
Wahai jiwa cukuplah angkuh dengan langit umpama kamu takkan jatuh menyembah bumi
Kerana hakikatnya kamu tak mampu lari walau sedetik dari sebuah kematian

Popular Posts