At The Top of The List!

Authored by: Dr. Mohd. Nor Mamat




IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL

Masa hanya 24 jam untuk setiap orang. Ada yang berjaya buat macam macam, ada yang tak sempat nak siapkan apa apa, ada yang tak tahu nak guna sebaiknya sebab terlalu banyak benda nak disiapkan…Kata pujangga Arab;


"Kerja (al wajibaat) lebih banyak daripada masa (al auqaat)"

Masa yang kita ada di dunia sepanjang hayat kita 60-70 tahun, jika dinisbahkan kepada perkiraan masa akhirat, hanyalah sekitar tempoh waktu ujian dalam dewan peperiksaan, iaitu sejam setengah. Kerana itu, kita bukan diukur kerana kita memiliki lebih banyak masa ataupun panjang hayat kita, tetapi lebih diukur pada bijaknya kita menggunakan masa ikut keutamaan. Mereka yang jelas hala tuju hidupnya akan lebih tersusun strategi penggunaan masanya dengan senarai TO DO, URGENT, REMINDER, SCHEDULE, dan lain-lain lagi.

Apa yang penting untuk kita utamakan? Surah Al Asr mengingatkan kita betapa manusia di dunia ini dalam kerugian, kecuali mereka yang menggunakan masa dengan kebaikan. Untuk berbuat kebaikan pula perlu kebijaksanaan memilih yang mana perlu diutamakan. Kemahiran merancang adalah sangat penting, kerana itu pujangga merumuskan, gagal untuk merancang sebenarnya bererti merancang untuk gagal.

Dalam kita menentukan urusan ikut keutamaan, kita perlu mengelakkan daripada sikap suka bertangguh. Sikap ini akan menyebabkan masa terhad yang kita ada menjadi semakin sempit, dan perancangan urusan yang kita perlu siapkan, sama ada dengan segera ataupun dalam tempoh masa tertentu. Kerja bertangguh tidak bersungguh, akhirnya tidak menjadi. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati. 
(Riwayat Al Hakim dan Al Baihaqi)

Prof Dr Yusof Al Qardhawi dalam karyanya, Fiqh Al Aulawiyyat menggariskan panduan dalam menentukan setiap urusan kita berdasarkan keutamaan; dharuriyyat (keperluan asasi), hajiyyat (keperluan tambahan) dan tahsiniyyat (keperluan perhiasan/ aksesori). Kita dianggap tidak bijak sekiranya menumpukan keperluan hajiyyat, tetapi pada masa yang sama mengenepikan keperluan dharuriyyat. Umpamanya, makanan asasi harian kita adalah dharuriyyat, berbanding membeli perabot yang berkemungkinan besar termasuk kategori hajiyyat. Dalam koteks motivasi barat juga, kita dapati Stephen R. Covey dalam buku terlarisnya, The 7 Habits of Highly Effective People menyenaraikan antara sikap utama yang perlu diterapkan dalam diri kita untuk jadi cemerlang, ialah ‘put first things first’(kenalpasti dan utamakan yang utama), selain be proactive, begin with the end in mind, think win-win, synergize dan sharpen the saw. Dalam bengkel-bengkel kemahiraan menguruskan masa dengan cemerlang, kita diajar mengenalpasti serta menyenaraikan urusan kehidupan seharian kita mengikut keutamaan. Important-Urgent, Important-Not Urgent, Not Important-Urgent dan Not Important-Not Urgent menjadi panduan untuk kita mengurus masa secara optimum.

Masa yang kita ada serupa jumlahnya dengan orang lain, tetapi manfaat masa tersebut berbeza mengikut strategi penggunaan kita. Utamakan yang utama! Strategikan supaya tidak perlu berulang usaha yang sama. Atau sekurang-kurangnya tidak membazir masa dengan melakukan kerja yang tidak penting, sedangkan urusan yang penting tertangguh dan tidak disempurnakan.


*Penulis merupakan pensyarah di Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan merupakan kolumnis untuk pelbagai majalah dan akhbar seperti Keluarga dan Sinar Harian. Beliau juga telah menulis beberapa buku seperti Dakwah Biar Santai Tapi Sampai dan Takluk Hati Pasangan selain aktif dalam mengendalikan program-program motivasi terhadap institusi-institusi serta organisasi-organisasi di seluruh Malaysia.

Popular Posts