Why Did You Have To Go?

Authored by: Mutiara_elFateh
Edited by: Anwar Mc noo

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL



Kau ada dikala ku suka,
Dikala ku duka,
Setiap tangisan dan juga ketawa,
Kau ada dikala ku perlu,
Setia menemaniku,
Pegang erat tanganku bila aku jatuh…

Lipatan kertas kecil yang berwarna oren itu aku tatap. Kecil sahaja kertasnya, ditulis dengan pena berwarna merah. Lalu aku meneruskan membaca ayat-ayat terakhir pada kertas itu.

Kaulah yang selalu, Selalu menemaniku,
Mendengar kisah pahit manis hidupku,
Kaula disitu, Setia menungguku,
Kaulah yang satu, Menjadi sahabatku.

Tanpa aku sedar mutiara jernih turut mengalir seiring aku menghabiskan bacaan terakhir di kertas itu. Lantas aku segera menyeka air mata yang tidak diundang, terus berlari ke tandas meninggalkan kertas itu di atas meja. Mujur sahaja pada waktu itu, tiada guru yang mengajar. Apabila keadaan diri agak sedikit stabil, aku melangkah ke kelas semula dan mengambil tempat duduk, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun jantung aku pada masa itu berdetak yang maha dahsyat, fikiran aku dihuni seribu satu macam perasaan.
Teman, mengapa kau ungkapkan kata-kata sebegitu rupa? Kau tahu lirik lagu itu amat besar dan mendalam maksudnya? Aku terharu, ya terharu jika ada seseorang yang sudi menjadi sahabat aku. 
Sahabat sejati sejiwa !~~~

Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka edisi keempat, SAHABAT dapat didefinisikan sebagai KAWAN, TEMAN, TAULAN.

Dalam erti kata yang mudah, keempat-empat patah perkataan ini memberi maksud yang sama.
Namun begitu, aku mempunyai pandangan yang berbeza bagi setiap perkataan itu. Aku hanya ingin membuat perbezaan terhadap dua daripadanya, iaitu, SAHABAT dan KAWAN.
Bagi aku, SAHABAT adalah satu gelaran keramat. Satu gelaran yang paling istimewa. Bukan semua orang mampu dipanggil sahabat. Kerna apa? Seorang sahabat itu, akan menjadi cerminan kepada sahabatnya yang lain. Seorang sahabat itu, mampu untuk berdamping dengan sahabatnya di kala susah dan senang. Seorang sahabat itu, mampu untuk menangis bersama tatkala sahabatnya sedang kesedihan. Pendek kata, sahabat adalah orang yang paling kita rapat, yang paling kita sayang. Antara kita dengan dia, tiada rahsia yang akan disembunyikan. Perhatikan semula lirik lagu ‘Sahabat’ nyanyian Najwa Latif yang digandingkan bersama Sleeq dan Syamkamarul itu. Di setiap lirik lagu itu, memberi erti yang mendalam. Hanya mereka yang menghargai seorang sahabatnya sahaja akan terkesan lewat lirik lagu itu.

KAWAN atau TEMAN, tidak banyak membawa perbezaan. Mereka ini adalah orang yang kita kenal dimana-mana sahaja. Boleh jadi ada yang akan jadi kawan rapat, tapi masih belum sampai tahap SAHABAT. Lihat, betapa tingginya aku menafsirkan maksud sahabat itu. Kawan dan teman, golongan ini sangat ramai. Kawan di kelas, tempat kerja, jiran rumah dan sebagainya. Seorang kawan itu, tidak mampu untuk berada dengan kita tatkala susah dan senang. Paling-paling tidak, waktu senang dicari, waktu susah dibiarkan kita terkapai-kapai sendiri. Ramai kan golongan seperti ini?

Sekarang, cuba semak kita di tahap yang mana? Andai tidak memperoleh seorang sahabat yang dicari, berusahalah untuk kita menjadi sahabat kepada orang lain. Sakit bila kita yang berusaha namun dia tidak, ibarat cinta bertepuk sebelah tangan bukan? Dengan tidak mengharapkan sesuatu sebagai ganjaran atas perbuatan yang dilakukan. In shaa Allah, kita ikhlas, redha apabila tidak mempunyai seorang sahabat seperti yang dicari. Kerna sudah yakin Allah ada sebagai sahabat yang terbaik. Pernah suatu hari, ada kawanku berkata setelah aku mengadu panjang padanya. Katanya, “ada la sahabat tu nanti. Suami hang tu yang akan jadi sahabat hang.” Bila aku menyelami maksud yang dia cakapkan, benar. Pasangan kita nanti yang akan memiliki ciri-ciri seorang sahabat yang kita cari. Cuma kita perlulah bijak dalam mengurus hal-hal yang berkenaan pasangan dan juga rumah tangga. Pasti pasangan kita akan menjadi sahabat sejati sejiwa kita. Aku juga selalu berpesan pada diri sendiri, “kalau tak jumpa sahabat kat dunia ni, Allah akan hadiahkan seorang sahabat kat Syurga nanti”, dan aku sangat yakin untuk memahatkan dalam diri sebaris ayat itu. 

Awak, dia akan berlepas ke Johor petang nanti bagi mengikuti Kem Pemilihan Tokoh NILAM  peringkat kebangsaan.”

Aku tahu perkara itu, cuma sedikit terkejut kerana dia ada memberitahu bahawa dia tidak jadi kesana, dia akan menyuruh seorang lagi kawan kami bagi menggantikan dirinya. Aku hanya mendiamkan diri, mengharapkan dia untuk memberitahu aku sendiri akan berita tersebut. Namun hampa, waktu semakin berlalu. Aku mencarinya keliling sekolah, mengharapkan akan bertemu. Lantas aku terlihat kelibat dia bersama kawan kami yang sepatutnya menggantikan dia di makmal fizik. Mereka berdua berada di sebalik dinding. Tika itu, aku hanya melihat. Seketika kemudian, aku membawa diri naik ke kelas. Sudah tidak ambil endah akan keberangkatan dia ke Johor selama dua minggu.

Dua minggu aku ke kelas tanpa dia, memang aku pelajar asrama, sebaliknya dia pelajar luar. Namun keakraban kami mungkin ketentuan Allah. Belajar untuk menyesuaikan diri tanpa ada seorang sahabat disisi. Pada masa yang sama, hati aku sakit. Rasa kecewa. “Sampai hati dia tak bagitau aku dia nak pi Johor jugak” Sebenarnya aku risau keadaan dirinya. Pada peringkat negeri ada khabar kurang enak yang aku dengar, dia pengsan sewaktu menjalani latihan. Allahu! Itu yang buat aku risau andai terjadi lagi semasa dia di Johor. Sudahnya hanya dia sahaja ke sana mewakili negeri Pulau Pinang. Hmm

“Only those who care about you, can hear you when you are quiet”
(Anonymous)

Usai dua minggu, dia hadir kesekolah seperti biasa. Dan kami berdua saling tak tumpah seperti tidak mengenali diri masing-masing. Diam. Cuba elak. Itulah yang kami lakukan. Sehingga suatu hari, aku ingin menghantar nota kecil padanya. Namun, waktu itu aku keliru dengan perbuatan sendiri. Tanpa aku sedar kawan kelas aku telah merampas nota kecil itu dan memberikan kepadanya. Merah padam muka aku. Ya! Aku malu. Aku segan hendak bercakap semula setelah sekian lama masing-masing dengan haluan sendiri. Tidak lama kemudian, dia membalas nota itu dengan sehelai kertas kecil berwarna oren yang dilekatkan di bawah meja. ~~~

Manusia datang dan pergi,
Datang membawa sebuah pengharapan,
Pergi bukan untuk meninggalkan penderitaan,
perginya kerana prioriti atau asbabnya sikap kita sendiri?
Kehilangan??
Pahit untuk ditelan, bukan manis untuk diluak semula,
Jangan takut atas namanya kehilangan,
Yang patah akan tumbuh,
Walau yang hilang takkan sama dengan yang diganti,
Percayalah,
Ada sebab mengapa terjadinya sebegitu rupa,
Ada sesuatu yang Allah akan hadiahkan kelak..


Aku buntu, keliru. Namun aku akur.
Teman dan sahabat, mereka juga manusia. Bila namanya manusia, hatinya mudah beralih arah. Hari ini sayang, esoknya benci. Di kemudian hari boleh jadi seperti belangkas, mahupun jadi musuh yang paling dahsyat. Hari ini di sisi, di kemudian hari sudah pergi. Namun pergi yang paling menyakitkan dan memberi kesan umpama ada belati tajam menusuk diri adalah pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

Sahabat,
Kau insan istimewa,
Yang Allah hadirkan buat diriku,
Ditakdirkan kita berkenalan bersama.

Sahabat,
Banyak rahsia antara kita,
Masing-masing sudah berjanji akan menyimpannya dengan penuh cermat,
Andai ada salah seorang yang ingkar,
Akan goyahlah tali persahabatan ini.
Namun engkau, akan berusaha sedaya upaya,
Berusaha untuk mengukuhkannya semula,
Walau kadang silapnya datang dari diri ini.
Lima tahun berlalu.

Aku menatap gambar kita berdua. Waktu itu, kau mengukir senyuman yang paling manis. Tidak ku sangka, itu terakhir kalinya kita dapat bersama. Senyuman yang kau ukir jelas menunjukkan yang kau tidak sakit apa-apa. “Mengapa kau tipu aku? Mengapa kau tidak ceritakan yang sebenarnya kau mengidap leukemia?” Tidak semena-mena aku meraung bagai anak kecil yang tidak dapat apa yang diminta dari ibu bapanya. Terduduk lemah aku dilantai, air mata tidak berhenti mengalir. “Mengapa sahabat? Mengapa kau pergi dulu? Bukan kita sudah berjanji hendak menggapai cita-cita kita bersama? Bukan kita berjanji ingin memegang skrol ijazah sarjana bersama-sama? Bukan kita sudah berjanji bahawa tiada rahsia yang akan disembunyikan antara kita?” Setelah keadaan diri semakin reda, aku mencapai sekotak hadiah kecil pemberian arwah yang berada di bawah katil. Lantas aku membukanya perlahan-lahan. Lima tahun, hadiah itu dalam simpanan, aku tidak membukanya. Aku cuba untuk redha yang kau sudah tiada. Maka, usai pulang dari pengkebumianmu, aku terus menyimpannya. Dan pada hari ini, aku diberi kekuatan untuk membuka hadiah pemberianmu. Ada sehelai purdah ungu di dalamnya disertakan sehelai surat yang juga berwarna ungu.

Sahabat,
Maafkan aku, mungkin sewaktu kau membaca warkah ini,
Aku sudah pergi dari dunia ini.
Sengaja aku merahsiakannya darimu,
Agar kau tidak turut bersedih mendengar berita ini.
Aku tidak mahu kelihatan lemah saat berada disisimu,
Cukuplah kekuatan yang ada pada dirimu menjadi sumber kekuatan
Agar aku terus tersenyum menjalani sisa hidup yang berbaki.

Sahabat,
Dulu, kita pernah punya niat ingin memakai purdah bersama-sama,
Namun apa daya, aku tidak berkesempatan untuk memakainya,
Aku harap, kau mampu merealisasikannya,
Sehelai purdah berwarna ungu, warna kegemaran kau.
Akhirul kalam, moga kau sentiasa berada di bawah lindungan Allah.
Salam sayang dari sahabatmu.


Tersenyum aku membaca warkah itu, meski jiwa tengah menangis. Namun aku puas, aku bersyukur kerana Allah meminjamkan aku seorang sahabat sebaik kau. Seorang sahabat yang banyak membawa aku mengenali jalan Allah. Akanku teruskan perjuanganmu wahai sahabat.


Jadilah seorang manusia yang mampu memberi manfaat buat yang lain.
Jadilah seorang sahabat yang akan senantiasa bersama sahabatnya menuju jalan Allah.
Sahabat yang baik, adalah sahabat yang akan menghulurkan tangannya sewaktu sahabatnya jatuh dari landasan Allah.
Seorang sahabat itu cerminan kepada sahabatnya yang lain.

Sekarang, semak diri kita berada di tahap mana. Moga Allah permudahkan segalanya.

“The language of friendship is not words but meanings”
(Henry David Thoreau)
___________________________________________


* Diinspirasi dari kisah benar dan selebihnya adalah imaginasi dan pendapat penulis.

Popular Posts