Activisme

Authored by: Abah
Edited by: Anwar Mc Noo

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL


Apa guna kau terlibat jadi aktivis? macam buang masa je."

"Macam tak bawak untung je"

"Dapat elaun tak"

"Patutlah kau tak kahwin lagi"

Matahari semakin lama mula menghilang daripada pandangan. Kata orang, pemandangan matahari terbit dan matahari terbenam ini antara pemandangan yang terbaik. Aku menghadap di mana tenggelamnya matahari namun hanya melontarkan pandangan kosong. Kerana yang timbul sekarang hanyalah soalan-soalan dan kenyataan daripada orang sekeliling ku tentang "Apa manfaat aku menjadi aktivis". Berlegar-legar di dalam kepala otak ku seperti atom yang bergerak di dalam satu kawasan terpencil. Melantun, berpusing, bergerak, berlanggar dan banyak lagi ciri yang dikaitkan dengan terma Gas Ideal. Ligat ia bergerak sejak timbulnya persoalan dan kenyataan sebegitu. Ia seperti soalan Pop Kuiz yang datang tanpa diundang. Tiada limitasi masa. Tiada limitasi markah. Yang ada hanyalah kenyataan dan soalan. Dan ditinggalkan satu ruangan kosong untuk aku mengisi jawapan dan melengkapkan ciri-ciri kertas soalan idaman setiap pelajar. Bebas menjawab tanpa memikirkan soal markah dan masa. Hahahahaha.

Sudah 2 tahun aku terlibat dengan gerak kerja bersama aktivis. Pergi ke lapangan untuk mendekati masyarakat. Menyampaikan untuk memberi kesedaran untuk membangkitkan masyarakat daripada lamunan mimpi yang sepatutnya sudah lama bangkit dari tidur lena. Bergerak ke sana dan ke sini, mengupas isu-isu semasa. Mencari fakta yang di auta kan setelah sekian lama. Mencari jalan bagaimana untuk membantu masyarakat keluar daripada kepompong kemunduran. Prihatin terhadap masyarakat yang berlainan agama dan negara yang ditindas dari seluruh pelosok dunia. 2 tahun aku bersama dengan aktivis. 2 tahun.

Tapi soalan dan kenyataan yang timbul dari mulut masyarakat sekeliling ini masih dibiar bergantungan tanpa sebarang jawapan. 2 tahun tapi aku masih tak mampu menangkis segala apa yang berlegar di dalam kotak fikiran ku. Tempoh yang aku rasa cukup lama itu sewajarnya membalas soalan dan kenyataan yang seperti bola lambung itu dengan satu smash padu. Hanya satu sahaja. Namun aku masih teragak-agak. Sama ada membiarkan ia jatuh ke atas lantai, membalas dengan satu smash padu, atau melambungkan semula kepada pihak lawan.

Lontaran kosong yang aku lemparkan saat menyaksikan satu fenomena yang biasa namun tetap indah di mata itu aku iringi dengan fikiran yang padat.

Apa yang manusia takrifkan tentang aktivis? Apa yang manusia fikirkan tentang kemajuan? Mengapa masih ada kelompok manusia yang masih di dalam lingkungan kemunduran andai semua manusia itu mengejar kemajuan? Bagaimana manusia takrifkan istilah kemajuan yang sebenar? Apa yang ada di balik takrifan "mundur"?

Andai benar manusia ingin mencapai taraf bahagia dengan kemajuan, bagaimana mereka takrifkan istilah bahagia di dalam kamus hidup mereka? Siapa yang memainkan peranan soal kemajuan dan kesedaran? Mahasiswa? Masyarakat? Parti Politik? Petani? Imam masjid?
Andai terma "maju" dan "sedar" itu tercapai, mengapa masih ada yang ditindas? Mengapa masih ada negara yang bergolak? Mengapa masih ada negara yang menghadapi kemunduran ekonomi?

Mengapa peperangan masih berlaku? Andai dikatakan waktu urusniaga terbaik adalah ketika berlakunya peperangan lalu cuba menyalakan bara-bara api, adakah pemikiran mereka ketika itu hanya tertumpu tentang kejayaan berbisnes? Mengapa mereka tidak fikirkan soal keselamatan keluarga? Atau paling kurang, mengapa mereka tidak memikirkan soal hidup dan mati mereka sendiri?

Tidakkah ianya juga satu kerugian andai mencapai kejayaan dalam keadaan tubuh tidak bernyawa? Bukankah ianya satu perkara  andai mencapai status jutawan tetapi tidak mampu memiliki rumah besar seperti istana, kereta hebat seperti Lamborghini dan berenang di dalam kolam duitan kerana hidup dalam dunia yang musnah. Saban hari dibedil dengan bom-bom yang mampu memusnahkan 2/3 negara besar. Hidup dalam dunia yang penuh dengan radiasi.

Di mana sifat prihatin terhadap masyarakat sejagat? Apa yang didefinisikan di balik perkataan "prihatin"? Adakah ianya sekadar turun demo di jalanan? Adakah ianya sekadar memenuhkan #SaveRohingya, #SaveAleppo dan lain-lain di media sosial? Atau sekadar mengejar populariti dengan mengira jumlah 'likes' bagi setiap post?

Hampir meletup kotak fikiran ku dengan segala persoalan yang beranak pinak ini. Setiap detik tidak dibazirkan untuk melahirkan soalan-soalan yang hebat dan matang.

CIS!! MASIH TIADA JAWAPAN.

UNTUK APA AKU JADI SEORANG AKTIVIS!!??

APA MANFAAT NYA AKU MENJADI SEORANG AKTIVIS!!??

Namun Tuhan itu tahu, bahawa hambaNya sentiasa perlukan jawapan kepada setiap persoalan. Persoalan yang cukup baik untuk mematangkan jasad dan roh di dalam diri. Persoalan yang mampu mengaitkan antara "aku dan perjuangan". Persoalan untuk mereka si pemikir.

Dan hakikatnya, Tuhan telah lama menjawab segala persoalan yang lahir dari kotak fikiran manusia. Lalu telah dikurniakan pula seorang manusia untuk membantu masyarakat untuk maju dan hidup dalam keadaan sejahtera lebih 1400 tahun dahulu.

63 tahun hidupnya itu membantu masyarakat terus bangkit dan sedar untuk keluar dari kehidupan yang hitam dan kelam. Memberi latihan berbentuk praktikal. Menjadi Qudwah Hasanah (contoh terbaik) kepada umat manusia.

Ya. Segala persoalan telah termaktub dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Ditinggalkan oleh Muhammad S.A.W., penutup kepada segala nabi kepada umatnya dengan kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi.

Balik kepada 'manusia' yang sebenar. Terus bantu tanpa mengira asal usul, bangsa, agama dan lain-lain. Andai matlamat terus untuk kebangkitan, maka perjuangan tanpa elaun ke akaun peribadi itu masih boleh dijalankan. Andai hidup selama 24 jam diuruskan dan dimanfaatkan dengan baik, maka tiada apa sebenarnya yang dikorbankan.

Untung?

Dia sumber rezeki kita.

Dan dia yang mengaturkan segalanya. Aku hanya bergerak dan terus bergerak ke hadapan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan lebih 1400 tahun dahulu.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ - 16:125

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
(An Nahl : 125)

"Aqill, dah lah tu. Menung apa lagi. Jom turun. dah 1 jam setengah kita melepak kat puncak bukit ni. Orang lain sibuk bergambar, kau acah layan 'sunset' pulak".
Sapaan sahabat aku mengejut kan aku yang telah jauh mengelamun. Andai diukur dengan jarak bersifat skalar, mungkin sudah sampai ke dasar laut Antartika.

Kata orang biar terus menerus berfikir. Kerana kemajuan dan kejayaan itu bermula dari kotak persoalan.

POP KUIZ tamat.
Submit kepada mereka yang memerlukan.

*Bergerak turun ke kaki bukit*

Comments

Popular Posts