Our Life. Our Choice

Authored by: Hakimi Hadi
Edited by: Anwar Mc Noo


IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL



“The more powerless you are, the more powerful you will be.”
–Brother Yusuf Kara

Lagi rendah diri kita rasa dan lagi banyak kita bergantung kepada Allah SWT, Lagi banyak kekuatan dan dorongan yang Allah akan bagi.

Aroma kopi kafeteria itu cukup terkenal dengan harumannya. Sesiapa yang pernah merasai, pasti menikmati kelazatan pada setiap titisan tersebut. Sebut saja kopi yang ingin dirasai: Cappuccino, Mocha, Hot Latte mahupun White Coffee, tetamu pasti tidak pulang tanpa senyuman. Tambahan, lokasi kafeteria  bertentangan dengan sungai melahirkan ketenangan hati kepada para pengunjung.
Matanya melihat sekeliling. Mencari-cari kekosongan tempat duduk yang berbaki. 

Lelaki berbaju dan bertopi hitam itu mengatur langkah perlahan-lahan, lalu terus ke bangku kosong di bucu kafeteria. Dia ingin berseorangan, untuk mencari sebuah ketenangan.

Ahmad. Itulah nama ringkas yang tertera pada buku nota hijau miliknya.

Dia merupakan seorang pelajar yang aktif akademik dan kokurikulum. Bahkan sentiasa melakukan yang terbaik dalam bidang yang diceburinya. Peramah, rajin, proaktif dan sifat cerianya selalu disenangi rakan-rakan. Namun buat seketika, perasaan itu jauh berbeza. Ahmad tertekan.

“DOSA-DOSA HINA KU!”

 Ahmad menulis dengan penuh geram. Ingin sahaja dicurahkan segala perasaan  tidak kena pada buku kecilnya itu.

Semenjak dua minggu ini, fikirannya menjadi celaru. Ada sahaja yang serba tidak kena. Tambahan pula, perkhabaran baru-baru ini benar-benar menjentik hatinya.

Ahmad tekad. Demi ruang kebaikan, dia harus dan mesti menyucikan diri dahulu. Segala kejahatan dan dosa, akan dia tulis pada ruangan kosong sekeliling kata-katanya sebentar tadi.

Perasaan mual menyelubungi hati seiring dengan layangan pena Ahmad. Dia tidak sangka bagaimana sanggup dia lakukan perkara sebegitu jijik selama ini, sedangkan hati masih bertuhan. 

Bahkan lebih menyayat hati, dia berasal daripada keluarga berlatarkan pegangan agama yang kuat.
 Manik-manik keinsafan jatuh tanpa dia sedari, membasahi kedua-dua pipinya.

“Biarlah kali ini, aku membezakan betul-betul mana  madu dan mana racun. Supaya kelak, aku tidak buat perkara yang akan meracuni diri sendiri lagi!” Tegasnya.

Saat Ahmad tenggelam dalam tulisannya, dia tidak perasan satu sosok tubuh yang mendekati dirinya.

“Tuan, ini Cappuccino panas  yang tuan pesan.”  Sambil dihulurnya secawan kopi Cappuccino dengan lembut dan sopan santun. Senyuman pelayan itu menyinari lagi suasana.
Ahmad sekadar berterima kasih.

 Sedikit pun tidak membalas senyuman itu kembali, apatah lagi mahu bertentang mata. Bukan dia sombong, tapi dia malu jika ada orang sekeliling tahu akan situasinya itu.

Penat. Hatinya semakin parah. Sama seperti gelas yang pecah, sudah  tiada kegembiraan, ketenangan dan kebahagiaan yang mampu disimpankan lagi.

Hatinya getus kecil, seraya beristighfar.

 ...

Eh gelapnya! Dekat mana aku ni? Semuanya kubur sahaja.” Soal Ahmad saat cuba berdiri. Dia telah dihumban ke sebuah  tempat yang tidak pernah dia jejaki.

Busuk, usang dan gelap. Itulah beberapa definisi sekitarnya.

“Ishh... kotor betul.”  Ahmad mengomel. Tanah yang dipijak itu pula bernanah serta melekit kelembapan.

Matanya liar melihat sekeliling. Mencari seribu satu jawapan bagi persoalan yang bermain dalam fikiran. Bagaimana dia boleh berada di sini? Bagaimana dunia boleh bertukar 360 darjah sekali gus? Kini, langit biru yang dipenuhi kepulan awan-awan putih sudah tiada. Nak katakan malam, pun tidak juga kerana langit itu tetap cerah. Bezanya langit itu adalah berwarna merah, yang di penuhi awan-awan yang berwarna hitam.

Ahmad cuba melarikan diri. Namun kekuatannya terbatas.

“Nak pergi  mana? Hahah... Nah! Cuba kau rasakan.”  Gema satu suara kasar yang menggegarkan bumi.

 Tiba-tiba, kepala Ahmad ditolak dengan begitu kuat sekali sehinggakan kepalanya jatuh menciumi  tanah.

Dia seakan-akan diseksa. Mulutnya dibuka seluas-luas dengan sendiri, lalu meratahi satu per satu tanah busuk berhanyir itu dengan penuh rela. Dia jijik, namun tiada kudrat yang mampu menghentikannya.

“Apakah semua ini?!” Keluh Ahmad.

Dia seakan sedar. Bercucuran tangisan air mata turun ketika itu. Mungkin ini adalah balasan sikapnya yang suka menipu demi meraih sesuatu? Perutnya sejak awal pun tidak rasa kenyang walaupun dihumban begitu banyak tanah perkuburan yang busuk dan bernanah itu.

Ahmad meronta, “Ya Allah, hentikanlah. Ya Allah, ampunkanlah. Ya Allah.”  

Berkali-kali dia cuba melarikan diri, bahkan merangkak dengan mulutnya sendiri.
Walaubagaimanapun, dia akur. Badan bergetar-getar ketakutan saat merasai sesuatu yang cukup besar memerhati dengan penuh tajam.

Cukup buat seketika, segala nikmat dunia kebanggaannya disesali. Hidup sudah tidak bermakna bagi diri itu.

Fuhh. Allahu akbar.” Ahmad cuba mengejar nafasnya. Dengan badan basah berpeluh itu, dia cuba bangun dari posisi baring. Perasaan syukurnya tidak kepalang, segala perkara yang buruk tadi hanyalah mainan mimpi.

Dia menarik nafas lega. Tiada kesyukuran yang lebih bermakna saat diberikan peluang kedua. Peluang untuk kembali ke jalan yang diredhai tuhan.

......

 Ahmad sambung menulis. Kertas yang kosong tadi sudah dipenuhi dengan catatan dosa-dosanya. Seraya puas dan menulis segala-galanya, dileraikan helaian itu daripada buku. 

Lalu direnyuk dan dikoyak sepuas-puas hati kepada pecahan kecil.

Ahmad bangkit lantas membuang helaian tersebut ke dalam tong sampah. Nafasnya ditarik dalam lalu menenangkan minda dengan basmalah.

Sewaktu kecil, Ahmad pernah mendengar sebuah kisah tentang taubat si pembunuh.  Pembunuh itu meninggal dunia di pertengahan jalan untuk bertaubat.

Kemudian Malaikat Rahmat dan malaikat Azab bertengkar kerana berebut untuk mengambil pembunuh itu.

Malaikat Rahmat membelanya dengan berkata, “Dia sedang menuju ke sana untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya.”

Malaikat Azab pula berkata, “Sesungguhnya dia tidak pernah melakukan kebaikan walaupun sedikit.”
Lalu satu malaikat datang dalam bentuk manusia atas perintah Allah sebagai hakim.

Malaikat yang menjadi hakim itu berkata, “Kalian ukurlah jarak kedua daerah tersebut dan daerah yang lebih dekat itulah ketentuan nasibnya.”

Maka Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab pun mengukur jaraknya dan ternyata daerah yang dituju untuk bertaubat itulah yang lebih dekat.

Dengan itu, (taubat) pembunuh itu diterima oleh Malaikat Rahmat.

[Riwayat al-Bukhari no. 3470]

Ahmad lega masih diberikan peluang. Peluang untuk menjadi orang yang lebih baik. Dia kembali ke tempat duduknya semula dengan tenang.

Dengan membuka helaian baru, Ahmad terus menulis.

“Misi Perubahan”
“Segala kekuatan ada pada-Nya.”

Ringkas. Sebagai satu matlamat baru.

Ahmad meneruskan azam. Untuk kuatkan perubahan, dia tambah pula  5 perkara kecil sebagai pengikat misi itu. Antara perkara yang dia tekankan adalah solat awal lima waktu dan membaca al-Qur’an sehelai sehari.

Seusai menambah beberapa grafik-grafik kecil sebagai motivasi. Kopi panas dicapai, lalu ditiup dengan  halus. Kepulan-kepulan wap yang naik mengaburi sedikit penglihatannya.

“Wah, fantastik!” Puji Ahmad sambil menghirup kopi pahit-pahit manis itu.

Begitulah kehidupan. Setiap kepahitan, pasti ada kemanisan. Ahmad tersenyum.

Kini, sasaran sudah jelas. Tinggal anak panah untuk dilepaskan, tinggal amal untuk dilakukan.

Langkahnya diperhati sejak awal tanpa disedarinya. Seusai Ahmad mengemas peralatan untuk mengundur diri, sehelai nota kuning kecil jatuh dari buku catatannya. 

Pelik, tidak pernah dia perasan pula kewujudan nota kecil itu.

Ahmad lekas menunduk dan mengambilnya.

“Life is about  choices, be wise Ahmad !”  Sepotong ayat ringkas terpahat pada muka hadapan.
Ahmad tersenyum, perasaan yang tak terkata saat membaca namanya. Pantas dia membelek pada halaman belakang.

Untukmu sahabatku yang sememangnya kuat.

Lebarkanlah sayapmu,
Seindah segagah sesuci dahulu ,
Terbangnya tinggi berhala  tuju,
Untuk diri dekat pada yang Satu.

Kesilapan bukan noktah kehidupan,
Lumrah insan melakukan kesilapan,
Bertaubatnya insan kepada tuhan,
Kerana tuhan Maha Memberi Pengampunan.

Lebarkanlah sayapmu seperti dahulu,
Meredupi insan disekeliling mu,
Hidupmu penuh titisan jasa,
Berbakti hidup keluarga dan bangsa.”

Daripada sahabat yang kerdil,

Waiter part-time kafeteria. :)

Ahmad tergelak kecil, senyuman manis jelas terukir.
 Pantas dia berkejar ke kaunter kafeteria seusai simpan nota kuning itu sebaik-baiknya.  Saat itu, Ahmad benar benar terkejut. Seakan dia tidak percaya akan penglihatannya.

“Biar betul, kau bukan tengah cuti ke? Ke memang part time kat sini?”

“Haha, buat part-time sekejap. Boleh jenguk-jenguk kau. Kahkah. 
Dah tak mau sedih-sedih lagi!” Usik Izzuddin.

Ahmad tersenyum malu, dia perasan sahabatnya yang kerja di situ.

“Hehe, thankss sahabat. Untuk pesan tu!”

“Takde hal lah. Kalau ada apa-apa roger je  aku, okay?”

“Sure thing! Haha. Doakan aku menjadi kuat kembali.”

“Aminn. Sudah pasti bro.”

Mereka bersalaman. Rupa-rupanya, Izzuddin telah letak secara senyap-senyap nota kecil itu saat Ahmad membuang catatan dosa ke tong sampah.

Perbualan mereka terhenti. Ada beberapa tetamu yang perlu Izzuddin memberi layanan.
Kini, Ahmad gagah kembali. Semangat kegagahan untuk terus kembali. Uniknya kafeteria itu juga berdekatan masjid. Dengan beberapa langkah sahaja, Ahmad telah menjejakkan kaki  ke masjid.

Tanpa berlengah masa, Ahmad terus berwudhuk lalu menunaikan dua rakaat solat sunat taubat. Dia tahu, seorang  pendosa yang sebaik-baiknya adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah. Lalu, dia memohon ampun sepenuh hati agar tidak mengulanginya lagi.

Terngiang-ngiang kata sahabatnya, Izzuddin saat mereka berkongsi pendapat tentang perubahan. Katanya,

“Janganlah berubah sedikit-sedikit, kerana kita tetap melakukan dosa yang sama. Berubahlah secara seluruhnya, biar kita tinggalkan dosa itu selama-lamanya.”

Dengan kata-kata itu, Ahmad bertekad berubah sepenuhnya.

Dia kembali sedar bahawa pengakhiran destinasi itu terletak pada setiap pilihannya. Sudah pasti, bukan lagi kuburan yang pernah dia lewati dahulu sebagai tempat destinasi abadi. Kenapa perlu diseksa jika boleh ke syurga?

Saat Ahmad tenggelam dalam doa, jiwanya kembali tenang. Keluh resahnya kian hilang. Sungguh dengan mengingati Allah, jiwa akan tenang. Terima kasih ya Allah kerana selalu ada untuk hamba-hambaMu.

“Sesiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari arah barat, 
pasti taubatnya diterima oleh Allah.” 
(Riwayat Ahmad dan Muslim)

Semoga kita tergolong dalam hamba yang diredhai-Nya.


*Inspired by Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada karya Hilal Asyraf



Comments

Popular Posts