The Street Thugs

Authored by: Hani Yus
Edited by: Anwar Mc Noo

IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL


"Be kind whenever possible. It is always possible."

(Dalai Lama)
Jumaat. 24/3/17
1:50 tengahari.


Terdengar sayup gema suara imam menyampaikan khutbah dari Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati. Aku pula setia berada di dalam kereta sementara menunggu dua orang adik-adik terunaku pergi menunaikan solat Jumaat. Titisan keringat di wajah kian aktif mengalir memandangkan enjin kereta sudah dimatikan. Kalau tak, memang aku kaya sungguh nak tampung duit minyak. Tingkap bahagian pemandu telah aku buka tak sampai separuh untuk mengurangkan kehangatan dalam kereta dan agar membolehkan aku masih bernyawa bila adik-adikku pulang ke kereta. Bagi mengisi masa yang ada, buku nukilan Ustaz Iqbal Zain yang berjudul 'Hearts App' aku selak ke helaian terakhir pembacaanku sebelum ini.

Beberapa detik berlalu sebelum aku menyedari kelibat jejaka-jejaka melepasi kereta melalui cermin sisi keretaku menuju ke masjid sehinggalah kelibat dua orang jejaka tadi berjalan semakin mendekat. Kedua-duanya memakai t-shirt hitam dan bertubuh tinggi. Seorang daripada mereka bertubuh kurus dan seorang lagi kelihatan agak sasa dan bertopi merah. Hatiku mulai sangsi melihatkan kepada gaya mereka yang ala-ala samseng tambahan pula aku menyedari asap yang berkepul-kepul di sekeliling mereka. “Hmm, merokok mungkin.” Aku mengagak. Kelenjar adrenalin semakin rancak dirembes mengakibatkan degupan jantungku semakin laju. Secara spontan aku merendahkan posisi tubuhku agar tidak terlihat oleh mereka ketika mereka melintasi keretaku nanti. Walau pada hakikatnya tindakanku itu tak memberi kesan yang besar pun memandangkan mereka sudah makin mendekat.

Suara mereka semakin jelas kedengaran. Bersembang mungkin. Ketika mereka betul-betul di sisi keretaku, tiba-tiba sahaja si badan kurus berkata

"Kak, pintu kereta tak rapat kak"

Aku menoleh. "Hah?"

"Saya rapatkan eh?"

Aku mula membayangkan insiden² tak enak yang mungkin berlaku. Mungkinkah dia akan terjah masuk dan cekup muka aku? Atau mungkin rakannya akan pecahkan cermin pintu aku dan pergelutan berlaku kemudian mereka rompak Myvi kesayangan ibuku ini? Ataupun mungkin akan terjadi sesuatu yang lebih dahsyat daripada itu?

Aku tak sempat berfikir panjang memandangkan dia menanti respon dariku. Aku hanya  mengangguk dan berserah pada takdir.

Lantas dia mendekat dan memegang pemegang pintu. Hatiku berdegup semakin laju. Ahh takut! Kemudian dia membuka pintu belakang dan tanpa lengah dia bertindak!! 

Dia bertindak dengan menutupnya kembali...

Hilang segala bayangan buruk, angan-angan ngeri yang menerjah fikiranku sebentar tadi. Aku sempat mengucapkan terima kasih dan mereka pun berlalu pergi bersama aroma rokok tak tahu jenama apa . Ya lah, bagiku bau rokok sama sahaja. Sepanjang beberapa saat sebentar tadi mataku tidak sekilas pun memandang ke wajah mereka. Mungkin terlalu berdebar nampaknya.

Fuhh hatiku semakin reda di saat langkah mereka semakin menjauh. Aku memerhati setiap langkah dan gelagat mereka. Setelah beberapa meter mereka menjauh daripada keretaku.. Kelihatan lagi asap rokok berkepul-kepul daripada mereka berdua. 'Betullah mereka merokok tadi' bisik hati kecilku.

Aku tersentak dan tersenyum sinis. Aku mula sedar tingginya prejudisku terhadap mereka sejak aku mula-mula terlihat mereka sehingga mereka hilang dari pandangan. Samseng jalanan? Allahu.. Sedangkan memang benar mereka menuju ke masjid. Benar mereka merokok tapi adakah melabel semua perokok jahat dan samseng tu satu pemikiran yang betul? Aku malah tersentuh dengan tindakan mereka yang sopan dalam membantu, menghormati aku dengan menunggu kebenaran daripadaku untuk membuka pintu, menyembunyikan puntung rokok sepanjang berkata-kata denganku hingga aku benar-benar yakin mereka merokok hanya setelah bergerak jauh dari keretaku.

Aku bersyukur Allah hadirkan dua orang insan untuk menegur tindakan akal dan hatiku daripada melabel berdasarkan rupa paras dan luaran. Begitu hikmahnya aturan alam bahawa seorang insan itu terbatas untuk mengetahui hakikat sebenar dalam diri insan yang lain.

Mungkin, pada zahirnya umpama raksasa namun batinnya lebih banyak merintih di hadapan Tuhan berbanding orang yang zahirnya seperti malaikat. Mungkin juga setiap saat dia usaha teruk untuk berubah dan berhijrah tapi masih buntu mencari caranya. Menyedari hal ini membuatkan aku makin menghargai Tuhan dengan sifatnya yang al-Rahman dan al-Rahim terhadap sekalian hambaNya. Kerana apa?

Boleh jadi aib itu terzahir atau terhijab agar insan lain beroleh pahala dengan HUSNU DZAN (Baca: Bersangka baik).

Boleh jadi juga aib disorokkan agar si pelaku terus ISTIQAMAH memperbaiki diri daripada dihimpit rasa malu atau rendah diri terhadap orang lain.

Dan kedua-duanya membuktikan Allah amat menyayangi seluruh hambanya tidak kira kita pada tahap yang mana. Ini sangat bertepatan dengan sebuah hadith qudsi yang berbunyi..


“ Sesungguhnya rahmatKu mengatasi kemurkaanKu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)







Comments

Popular Posts