The First Step

Authored by: Syamimi
Edited by: Anwar Mc Noo



IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL


“The first step towards getting somewhere is to decide that you are not going to stay where you are”
(Chauncey Depew)

 Memulakan sesuatu yang baru itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Kerana yang pertama itu harus dulu melalui kesusahan yang orang lain tidak pernah tahu. Maka, persiapannya harus lengkap. 

Persediannya harus mantap.

Permulaannya mungkin agak kekok dengan suasana dan orang baru. Suasana mungkin terlalu sepi membungkam sanubari atau bising hingga memekik gegendang telinga.

Keterbukaan dalam menerima pendapat, kesediaan menabur wang dan waktu, kelapangan hati menahan amarah dan ketabahan menghadapi ujian yang datang. Itu semua persediaan untuk memulakannya.

Ini bukan soal kita sado maka kita kuat untuk hadapi. Ini soal mental dan hati kita dalam mencerna dan memproses pelbagai situasi bagi mencapai matlamat kita untuk memulakan sesuatu.

Saat kita bermula, tiada satu insan yang tahu dan tiada yang melihat apatah lagi untuk menghargai. Malah, mungkin jua hidung mereka tidak langsung menghidu!

"Ahhh! Jangan susahkan diri kau la. Fokus je belajar. Kau buat ni bukan orang pandang pun."
Sekali lagi, kita dibutakan dengan sangkaan dan pandangan manusia.

Apa hidup ini kerana manusia? Atau kerana Tuhan? Mungkinkah agama kita bernama manusia? Atau sebenar-benar Islam?

Andai hari ini ada insan yang membuka minda, melapangkan hati dan menggerakkan langkah untuk memulakan sesuatu yang baik serta membawa perubahan bagi orang disekelilingnya, percayalah aku adalah salah seorang yang menyokongmu.

Mungkin senang bagi aku dan yang lain kata ianya bagus dan mudah namun bukan kami yang harungi. 

Tapi percayalah bahawa syurga bukan dipagari dengan suka dan indah tetapi dipagari dengan cabaran dan rintangan.

Katakan pada hatimu, bahawa semua yang berlaku nanti pasti akan berlalu dan kita harus percaya yang Tuhan bersama kita.

Adat orang beriman untuk diuji. Adat orang menerima ujian untuk marah dan sedih. Adat juga orang yang di sisi untuk katakan terus bersabar.

"Korang takkan faham kerana aku yang lalui semua ni"

Ya, aku dan kami tak mungkin faham kerana pada zahirnya mungkin jalannya sama dan ceritanya persis namun rasa dan tindakan akan berbeza.

Tiba-tiba teringat pesan papa saat aku katakan,

"Papa, kalau akak cita-cita besar sangat nanti bukan dapat pun kan"

Papa pesan,

"Gantung dan letakkanlah cita-cita akak setinggi bintang dan bulan di langit. Walau akak tahu akak tak mampu untuk menggapainya tapi akak tahu destinasi yang akak tuju itu adalah indah dan baik. Akak akan usaha yang luar biasa dari yang biasa"

Habib Ali pesan,

"Jika kejayaan yang kita impikan itu besar maka, pengorbanan utk kejayaan itu juga harus besar"

Teruskan lah untuk mulakan sesuatu kerana dari tindakan itu melahirkan suatu gerak kerja seterusnya mencipta cita-cita dan akan membawa pada transformasi.

Percaya pada diri kita dan yakinlah pada Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.


Comments

Popular Posts