Is There Still Hope?
Authored
by: Syamimi
Edited
by: Anwar Mc Noo
IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL
“A little more persistence, a little more effort,
and what seemed hopeless failure may turn to glorious success.”
-Elbert Hubbard-
Ini adalah analogi ringkas.
Dosa itu umpama daun gugur yang jatuh ke bumi. Ia bakal terurai di dalam tanah menjadi baja semula jadi yang baik dan ia bakal memberi nutrien yang sihat buat pokok untuk terus hidup.
Ertinya, apabila kita semakin dewasa, pendirian kita mungkin berubah. Berubah menjadi lebih realistik, menjadi lebih matang. Umpamanya, daun yang gugur itu tadi adalah seperti pendirian, pemahaman dan pemikiran kita yang lama yang harus dibuang. Dan kesannya, apabila kesalahan tadi dibuang, ia akan akan berbalik menjadi baja buat diri kita, sebagai pengajaran dan nutrien yang baik untuk kita terus membesar dan menjadi lebih dewasa.
Begitulah pengajaran daripada kesalahan yang akan meresap ke dalam diri kita dan akhirnya akan menjadi panduan dan sempadan agar kita menjadi lebih baik
Namun, saat maksiat dilakukan gugur jua sehelai daun yang dulunya baik. Ia tinggal di dalam hati menjadi titik-titik hitam yang bakal menjadi baja yang buruk yang bakal mempengaruhi hati dalam setiap tindakan dari dalam.
Baja itu lah ku kira yang membuat hilangnya manis dalam beribadah, sukarnya khusyu’ dalam solat, payahnya ikhlas dalam amalan dan sulitnya rasa sabar itu menempuh ujian juga terhakisnya syukur dalam nikmat.
Lantas apakah yang tinggal untuk kita terus melakukan kebaikan? Bagaimana baja itu harus kita kikiskan?
Saat kita sedar yang hati kita sedang parah dibajai titik hitam itu, lantas itu lah yang dinamakan kita masih punyai iman.
Saat kita punyai keinginan untuk berubah, maka itulah caranya untuk kita kikiskan baja itu.
Kita harus bersungguh-sungguh!
Kerana prosesnya lama. Kerana perjalanannya penuh tangis dan luka.
"Mampukah aku?"
"Apakah aku boleh lepasi semua ini?"
Soal mampu dan boleh bukan itu yang harus kita tanya. Tapi apakah kita sudah bersedia menerima? Apakah kita sudah siap menjalani?
Saat hati kita berbisik bahawa diri sudah jauh. Hati sudah lupa. Tubuh kian lemah.
Harus dikuatkan bisikan itu, biar ia jadi satu azam. Harus disungguhkan untuk dilakukan, biar ia jadi kekuatan dalam amalan. Harus digerakkan untuk dimulakan, supaya ini bukan omongan atau permainan tetapi ini adalah medan perjuangan serius antara kita dan Tuhan.
Pada mulanya, ia mungkin agak celaru kerana hampir semua kebaikan ingin dilakukan.
Daun yang hijau kelak mungkin kuning yang bakal gugur. Itu lumrah alam.
Kita yang baik hari ini jika tidak dijaga sesungguhnya pasti akan rebah menyembah bumi.
Mungkin kerana terlalu selesa dalam kebaikan kita?
"Menyesalnya aku tak jaga diri aku betul-betul."
"Kenapalah aku leka sangat sampai tak sedar dah jatuh?"
Menyesal itu umpama angin sepoi yang menggerakkan daun yang jatuh itu untuk sedar bahawa kita sudah jatuh.
Tiba masa untuk bangkit!
Bukan hanya memandang langit dan merasa angin menyapa sahaja.
Lakukan sesuatu!
"Tapi dari mana harus aku mula?"
"Tapi dosa aku akan terampunkah?"
Bermula lah dengan lafaz istighfar hingga hati kau pilu mengingati dosa lalu turun air mata keinsafan.
Sedarkan hatimu bahawa kita hamba yang hina. Yang akhirnya Allah jua lah tempat kembali segalanya.
Hiasi lafaz takbir dengan sebesar-besar takzimmu pada Tuhan. Lantunkan doa iftitah itu dengan sebenar-benar jiwa kehambaan. Hayati lah bait mafhum Al Fatihah dengan hati yang meyakini kekuasaan TuhanMu.
Tugas hamba hanya meminta dan tugas mengampun itu urusan Tuhanmu.
Teruskan merintih dalam taubat, memohon dalam hajat, meyakini dalam doa bahawa Tuhanmu akan mengampunimu. Bahkan, rahmat dan kasih sayangNya dilimpahi ke atasmu.
Bagi yang merasa tidak punyai harapan, letakkan tanganmu di dadamu dan ucaplah kalimah Laaa Ilaaa ha Illaa Allah seberapa banyak kali yang hati mahu.
Pejamkan matamu dan dongakkan ia ke langit.
Rasai ketenangan angin membelaimu.
Dan mungkin ia tanda Tuhan limpahkan kasih sayangnya padaMu.
Comments
Post a Comment