Cinta-Cinta, Yang Gagal

Authored by: Ismie_Hazira
Edited By: Anwar Mc Noo


IN THE NAME OF ALLAH THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL

“There is only one hand-hold that never breaks. There is only one place where we can lay our dependencies. There is only one relationship that should define our self-worth and only one source from which to seek our ultimate happiness, fulfilment, and security. That place is God.”
(Reclaim Your Heart by Yasmin Mogahed)

“Kalau kau rasa aku bercerita hanya sebagai alasan, janganlah baca. Aku cuma menulis secebis dari kekuatan yang aku dapat, supaya orang lain yang berada di curam gunung, akan menginjak dari gelincir kakinya ke dalam gaung.” 
- Aku

15 Jun 2020. 1620 hrs. 

Turned in. 

Aku diam. Diam yang lega. Habis peperiksaan akhir semester dua.

'Huh, baru semester dua?'

Damn. Suara itu.

'Orang lain dah grad, dah praktikum, dah kerja. Kau baru semester dua?'

Tanpa menghiraukan suara itu, aku segera tangkap gambar laman web rasmi yang kami guna sepanjang peperiksaan akhir sempena Covid-19 kali ini.

Ada orang yang ada saham untuk kekuatan aku hari ini.

Whatsapp aku buka, laju jari menaip di ruangan carian. Aku tekan nama dia, gambar tadi aku hantar, bersama emoji menangis dengan gelaran yang aku guna untuk bahasakan dirinya. Habis menghantar, aku buka pula ruangan sembang kumpulan subjek bersama pensyarah, satu pesanan ringkas aku hantar;

'Terima kasih atas pengalaman dan perkongsian ilmu sepanjang kuliah semester ini.' 

Selesai semuanya, skrin telefon pintar dibiarkan gelap semula.

Dan kebetulan, azan Asar berkumandang.

#

Tahun ini genap usia aku mencecah 23 tahun.

Usia yang aku rasa sudah cukup dewasa dan matang untuk berfikir dan bertindak demi kemajuan diri sendiri.

Dalam 11 orang kawan rapat aku di sekolah menengah, hampir tujuh orang yang sudah graduasi.

Dalam 20 lebih rakan sekelas sains tulen sekolah menengah, sudah hampir separuh yang masih saling menghubungi telah hampir menamatkan pengajian, atau barangkali sudah ada perniagaan sendiri.
Dalam 100 lebih kawan-kawan sekolah menengah, sudah hampir empat orang yang telah disatukan dengan pasangan masing-masing.

Aku pernah memuatnaik satu status ringkas;

'Bagaimana menerima diri sendiri dengan sebenar-benar penerimaan?'

Dalam ramai orang yang aku kenal sebaya usia aku, aku rasa diri aku yang paling teruk antara semua orang. Masih tersangkut dengan pengajian, berhenti beberapa kali, tidak tahu atas alasan atau tujuan apa hidup perlu diteruskan, tidak tahu identiti diri sendiri, dan kalau aku senaraikan semua yang menjemput tangis aku setiap malam, pasti panjang.


‘Kau pernah rasa teruk?’

Rasa yang semua orang telah jauh ke hadapan, meninggalkan kau seorang di belakang.
Ditinggalkan, dan keseorangan. Usia ini memaksa aku menyalahkan diri sendiri kerana aku tidak ada kemajuan hidup.

Apa lagi yang lebih tajam menusuk daripada kenyataan itu?

Selain daripada aku belum mampu nak memberi balas kepada ibu dan bapa, aku masih lagi bergantung belanja dengan mereka. Malu? Ya, aku malu. Hendak bercita-cita membawa mereka menjejak kaki di Mekah, harap angan-angan Mat Jenin sahajalah.

Kau tak tahu kenapa aku sangat benci dengan diri aku sendiri. Paling tidak menyerlah, paling semangat yang  terlalu lemah, dan semua keburukan yang kau rasa ada pada aku, aku mengaku semuanya ada pada aku.

Yang anehnya, orang-orang masih menganggap aku kuat berjuang melawan jiwa yang sakit. Yang peliknya, orang-orang masih membalas status-status 'hitam' aku dengan ucapan 'Semoga kau lebih kuat.'

Kekuatan apa yang mereka lihat, aku jujur tidak tahu, tidak nampak, dan tidak merasainya.

Akhirnya, di atas sejadah merah ini, air mataku jatuh satu-persatu.

'Sampai  bila aku perlu hidup tanpa arah tuju begini? Sekadar melalui satu lagi hari kerana bernafas.'
#

"Fariz dah bernikah." 

Aku terpempan.

"Apa dia ma?" Suara mama seakan tidak jelas pada corong telingaku.

"Fariz sudah bernikah." Sekilas hati terasa ditoreh-toreh.

"Mama tahu dari mana?" Atau mungkin mama silap?

"Dia letak di status."

Bibir terkunci.

Satu tahun tiga bulan yang lalu. 
Fariz meminta izin berjumpa mama berdua sahaja. Ada perkara penting yang hendak dibincangkan, katanya. 

Aku masih mengira tempoh masa dari peristiwa pahit yang mengguntur jiwa itu. Ya, jiwa seorang perempuan, yang telah jatuh hati dengan pandangan yang pertama. 

Mereka bersemuka di sebuah restoran, Cuma berdua. Fariz dan Mama.

"Saya nak putus dengan dia," Mama angkat muka dari menatap meja setelah mendengar ayat Fariz.
"Apa dia?" Seperti petir menyambar malam, aku jangka mama turut terenjat dengan pernyataan itu.
"Saya tak mampu untuk teruskan hubungan kami," Dia menundukkan wajah.
"Tapi kenapa? Apa salah dia pada kamu?" Mata Mama sudah berkaca agaknya.
"Dia tak salah. Saya yang tak mampu. Tak mampu untuk menghalalkan dia." Kemudian dia bercerita tentang bagaimana dia merasakan kewangan makin terhimpit selepas berhubungan denganku.
Mama diam memendam kecewa. Mi Hailam yang selalunya menjadi kegemaran kini seperti jerami yang kering di tekak. 
"Kamu ada perempuan lain?" Akhirnya soalan itu pecah juga dari mulut Mama.
"Tidak. Selepas ini saya tidak akan ada lagi hubungan dengan sesiapa. Saya hanya akan fokus kepada keluarga dan kerjaya saya." Sungguh-sungguh dia menafikan, dan malam itu hanya Tuhan yang tahu betapa berkecainya hati seorang perempuan. 

"Fariz dah bernikah." Terngiang-ngiang suara Mama pagi tadi di telinga. Dan di tangan aku, skrin telefon memancar terang.

Ada gambar seorang lelaki yang sedang tersenyum dengan seorang wanita. Berpakaian putih, dengan wajah yang sangat-sangat bahagia.

Air mata aku jatuh lagi.
"Tidak. Selepas ini saya tidak akan fikir lagi tentang hubungan atau pernikahan."
Dan hari ini kau bernikah, Fariz?

Dasar.
Aku tenggelam dalam banjirnya air mata, dan pahitnya kerongkong menelan kenyataan.

#
Orang kata, langkah pertama untuk membahagiakan diri, adalah melepaskan.

“Cuba kau bayangkan,
Apa yang kau rasa,
Terjatuh di dalam lubang yang sama,
Berkali-kali kau tetap tewas” 
- Rabithah

Tetapi melepaskan, untuk menerima kenyataan bukan semudah menulis huruf 'm' dan diakhiri dengan huruf 'n'; Melepaskan.

Salah aku, yang mencintai sebelum memiliki. Walaupun dalam rasa cinta kepada Fariz tinggi dan yang tahu nilainya cuma Tuhan, aku tetap salah. Salah menyangkutkan cinta kepada manusia.
Tapi salahkah seorang manusia mencintai dan mahu dirinya dicintai?

Dengan cara yang paling rahsia, cinta aku ini tidak sesekali dikhabarkan kepada Fariz. Rasa suka itu dipendam sambal menunggu waktu yang paling sesuai untuk menyampaikan rasa cinta itu. Selepas akad dikabulkan.

Malangnya, akad Fariz bukan untukku.

Setelah gagal mencintai diri sendiri, aku gagal lagi mencintai orang lain.

#

15 Jun 2020. 1230.

"Nak mengadu, boleh?" Kebetulan, aku balas status kenalan lama yang dimuatnaik beberapa minit sebelumnya.

"Boleh." Ringkas dia membalas.

Aku ceritakan tentang apa yang membungkam hati. Semuanya, di atas. Sambil jari sibuk mencari huruf-huruf, air mata turut sibuk mengalir. Basah bantal arnab merah jambu yang mengalas kepala.
Banyak yang aku ceritakan. Harapanku cuma satu, supaya jiwa akan terasa sedikit ringan untuk menjawab soalan peperiksaan jam 8.30 pagi nanti.

"Aku terkejut," Dalam banyak-banyak balasan yang aku harapkan, begitu dia memujuk.

"Kenapa?"

"Banyaknya kau memendam rasa. Aku fikir kau baik-baik saja." Nafas panjang dihela.

"Aku takut menceritakannya kepada orang walaupun aku tahu aku perlu. Sama ada takut orang memandangku lembik, takut cerita aku sebenarnya kecil sahaja tetapi emosi yang membesar-besarkannya."

Kemudian, aku gelapkan skrin telefon dan matikan sambungan data. Aku takut mahu membaca apa yang bakal dibalas oleh rakanku itu. Biarlah dia mengambil masa untuk membalasnya, dan aku akan membacanya pada awal pagi esok.

#

15 Jun 2020. 0600.

Aku terpisat-pisat bangun. Kepala terasa berat bahana menangis kemudian terlena.

‘Mesej,’ Aku mencapai telefon lalu menyambung data. Beberapa saat kemudian, notifikasi berbunyi menandakan mesej semalam telah dibalas. Pandangan masih berbalam-balam, tapi setiap perkataan yang ditulis masih jelas untuk dibaca.

Kemudian, aku bingkas bangun membersihkan diri.

Subuh itu, aku biarkan satu-persatu ayat Tuhan yang berbunyi di bibir, menyentuh hati yang sudah terasa makin jauh dengan Yang Mencintai aku.

Air mata jatuh. Bagaimana boleh aku terlupakan damai cinta Dia yang nyaman?

Inna ma'al 'usri yusra. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
Fainna ma'al 'usri yusra. Sungguh, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. 

Dua ayat yang sangat aku suka, ketika hari-hari benar seperti terhimpit dan sepi. Sakit dan melukakan. Perit dan merabakkan.  Aku terbayang hari-hari yang telah lepas. Hari-hari yang aku tak sangka aku akan melaluinya, dan akhirnya aku berada di hari ini.

Bukti Allah menunaikan janjiNya. Aku tidak sangka aku boleh melalui hari itu, tetapi Tuhan menguatkan kaki-kaki. Aku tidak sangka hari-hari yang penuh dengan tangisan akan terhenti, tetapi Tuhan menggantikannya dengan jiwa yang makin hari, makin tebal dan kuat.

Dalam banyak cinta yang aku pandang, rupanya nilai cintaNya yang tersembunyi jauh lebih tinggi;

'Aku ada,' Kata Allah.

Jauh aku berlari, menginjak daripada Dia. Kerana sangkaku lapang dada itu ada pada ketawa yang seketika.

Mujur. Mujur Tuhan tidak lari.

“Jangan terus-terusan membenci diri sendiri. Mungkin kau lupa, tapi selama kau bersama-sama kami, kau adalah inspirasi, yang menyuntik motivasi dalam diri kami. Dan mungkin kau tidak tahu, kami sangat-sangat merindui kau.” 

“Kami akan ada untuk kau, dan selamanya akan sayang kepada kau.”

Rupanya, cinta aku pernah, tidak gagal.

"Mungkin Allah rindu doa kau," 

Dan cinta yang ini, tidak pernah akan gagal.

“I seek refuge in You from bringing upon my soul and from harming any Muslim.”

Mudahnya prinsip cinta, membuat segenap makhluk berasa selamat dan bahagia.

Dan sewajarnya, aku paling perlu membuat diri aku berasa selamat dan bahagia dengan diri sendiri. Mungkin aku perlu berhenti mengukur kemajuan diri dengan pembaris hidup orang lain. Oh, bukan mungkin.

Aku perlu berhenti mengukur hidup aku dengan pembaris hidup orang lain.

Supaya cinta kepada diri sendiri, tidak termasuk cinta yang gagal.

#

“Kadang-kadang kita tahu perkara apa yang patutnya kita buat. Cuma, manja. Kita mahu juga orang menampar kita dengan kenyataan.” 
– Aku.

Comments

Post a Comment

Popular Posts